Isnin, 28 Disember 2009

Devic ragut kehidupan(Devic Neuromyelitis Optica)

KESIHATAN - kosmos 29 dec 2009

Seorang ratu cantik berisiko buta dan lumpuh tiba-tiba.

"PENGLIHATAN beransur kabur sehingga satu hari mata kiri saya tidak dapat melihat apa-apa lagi. Ia pengalaman yang sangat menakutkan.

"Seminit lalu, saya mampu melihat seperti manusia biasa, tetapi minit berikutnya saya hanya melihat kegelapan.

"Penyakit Devic ini bukan sekadar meragut penglihatan malah memberi tekanan pada jiwa saya.

"Selain banyak menangis serta hilang keyakinan diri, saya juga merasakan hidup ini tidak berguna lagi," luah Nicola Thomas, 23, seorang gadis jelita yang pernah memenangi gelaran Ratu Cantik Caerphilly 2010 di bandar kelahirannya, Wales Selatan.

Tahun lalu, Nicola hilang penglihatan mata kirinya buat seketika namun sembuh sebelum kembali buta awal tahun ini.

Nasibnya lebih malang apabila doktor memberi amaran bahawa dia mungkin boleh buta pada bila-bila masa.

Punca tidak diketahui

Sungguhpun begitu, Nicola yang layak bertanding bagi merebut mahkota Ratu Cantik Wales pada musim panas depan, mempunyai impian untuk mewakili Wales pada pertandingan Ratu Cantik Dunia sebelum dia menjadi buta buat selama-lamanya.

"Tiada siapa tahu bila sebelah lagi mata saya akan buta tetapi saya mahu berusaha sedaya upaya bagi mencapai impian semasa saya masih boleh melihat," katanya yang mula menyedari penglihatan mata kirinya menjadi kabur dua tahun lalu semasa menonton televisyen bersama ibunya, Carol, 45.

Penyakit Devic atau nama penuhnya Devic Neuromyelitis Optica ditakrifkan sebagai penyakit yang jarang berlaku dan tidak diketahui puncanya.

Menurut Pakar Perunding Oftalmologi, Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Dr. Zainal Mohamad, asas penyakit Devic ialah keradangan yang berkait dengan sistem imun.

"Penyakit ini mengakibatkan sistem myelin iaitu tisu di dalam saraf rosak dan menjadikan perjalanan pantas rangsangan saraf terbatas.

"Cuba bayangkan saraf kita seperti sosej yang bersambung-sambung, apabila berlaku kerosakan myelin, sosej itu akan menyusut dan hilang.

"Proses yang dikenali sebagai demyelination ini menyebabkan transmisi rangsangan ke saraf pusat terencat," jelas beliau.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai fenomena itu, Zainal berkata, sesetengah kes penyakit ini dapat dikesan menerusi pemeriksaan imbasan MRI.

"Jika didapati ada kelainan pada saraf tunjang dan saraf optik serta pesakit berdepan dengan beberapa kegagalan fungsi organ, pesakit itu berdepan dengan serangan yang boleh berlaku serentak ataupun berasingan.

"Devic akan menyerang dua struktur tubuh iaitu saraf tunjang dan saraf optik atau mata.

"Apabila seseorang pesakit itu menghidap Devic, dua simptom awal ialah masalah penglihatan dan kelumpuhan saraf seperti kebas, lumpuh dan tidak boleh membuang air besar atau kecil.

"Walau bagaimanapun spektrum kegagalan fungsi berbeza-beza dan bergantung kepada keadaan pesakit. Buta boleh menjadi petanda awal dan ia juga mungkin kesan terakhir kepada penyakit ini," katanya.

Antara petanda seseorang itu menghidap penyakit berkaitan saraf ini ialah pesakit mungkin berdepan dengan masalah tangan tidak boleh diangkat, kaki tidak boleh digerakkan dan buta. Lebih serius, pesakit tidak dapat membuang air kecil dan besar serta lumpuh seluruh badan.

Ancam kanak-kanak

"Bagaimanapun simptom penyakit ini tidak dapat dijangka yang mana datang dahulu kerana ia bergantung kepada masa dan jenisnya," ujar Zainal.

Tidak menolak kemungkinan kanak-kanak berdepan risiko Devic, beliau memberitahu: "Tidak dapat ditentukan had umur. Malah, menurut kajian, kanak-kanak seawal usia empat tahun boleh mendapat penyakit ini.

"Bahkan saya pernah mengendalikan kes budak berusia tujuh dan lapan tahun," katanya.

Bagi merawat penyakit yang lebih banyak dilaporkan terjadi di Asia ini, rawatan intensif akan diberikan kepada pesakit bagi mengelak ia daripada berulang.

"Pesakit Devic boleh dikelaskan kepada beberapa kumpulan, antaranya klasik dan berulang. Bagi kelas klasik, pesakit akan mengalami serangan buta dan lumpuh dalam masa yang sama ataupun selang beberapa hari.

"Imbasan MRI terhadap pesakit tidak menemukan sebarang tanda ganjil pada otak tetapi pada saraf mata dan tulang belakang.

"Pesakit Devic daripada kumpulan ini berdepan serangan Devic sekali sahaja dan tiada potensi penyakit berulang.

"Sebaliknya, jika pesakit itu hanya mengalami simpton ringan dan tidak melibatkan kedua-dua saraf, potensi untuk penyakit itu berulang dalam jarak tiga atau empat tahun sangat besar.

"Malah 70 peratus daripada kes Devic kini dilaporkan adalah jenis yang berulang," jelasnya.

Merujuk kepada kes Nicola, Zainal mengatakan ratu itu tergolong dalam kumpulan berulang dan tidak menolak serangan pernah berlaku sebelum ini.

"Menurut laporan akhbar, Nicola pernah mengalami buta sementara pada mata kiri sebelum dia mampu melihat dan kini buta semula.

"Namun, jika kerap berulang, penyakit ini akan merosakkan saraf yang membawa kepada buta kekal walaupun pesakit masih dalam rawatan dan mengambil ubat khas.

"Kes Devic berulang pula lebih banyak melibatkan golongan dewasa berbanding kanak-kanak," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan